Friday, April 16, 2010

Utusan Malaysia - 17 April 2010 / 3 Jamadil Awal 1431


MEB lahirkan golongan pertengahan baru

KUALA LUMPUR 16 April - Model Ekonomi Baru (MEB) akan meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja-pekerja kumpulan bawah 40 peratus dan akan menjadikan mereka golongan pertengahan yang baharu kata mantan Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Samad.


"MEB bertujuan untuk merapatkan jurang antara yang kaya dan kumpulan bawah 40 peratus.


"Kumpulan bawah 40 peratus tidak memiliki modal tetapi mereka memiliki modal insan. Program melatih semula akan melonjakkan kumpulan ini yang kebanyakannya terdiri daripada Melayu dan bumiputera kepada pekerjaan yang berpendapatan tinggi ketika negara menuju ke arah ekonomi bernilai tinggi.


Kumpulan bawah 40 peratus adalah golongan yang mempunyai pendapatan RM1,500 atau kurang sebulan dan MEB bertujuan menggandakan pendapatan mereka dalam masa sepuluh tahun dan seterusnya melonjakkan mereka dalam kumpulan pertengahan yang baru,'' kata beliau ketika mengulas tentang MEB yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Apa yang berlaku sebelum ini ialah kita mewujudkan kumpulan bilionair tetapi oleh kerana landasannya tidak kuat, hanya memerlukan satu krisis kewangan untuk melenyapkan mereka ini. Sekiranya kita mewujudkan kelas pertengahan baharu ini, ia akan menjadi lebih kukuh," kata beliau sambil menambah, MEB mahu mengukuhkan asas ekonomi Malaysia.


''Krisis Kewangan Asia memberikan banyak pengajaran. Kita harus mewujudkan kekayaan yang tulen dan bukan kekayaan di atas kertas, kekayaan yang hanya untuk sekelompok kecil yang teratas. Oleh itu kita perlu memperkasakan asas ekonomi dengan mengadakan modal yang tulen dan memiliki modal itu. Kita tidak lagi boleh membuat pinjaman atau berhutang terlalu tinggi dan kita perlu ada kepakaran," kata beliau.



1 comment:

  1. punca utama deb gagal kerana bantuan kerajaan hanya diberikan kepada bumiputera di semenanjung sahaja, manakala bumiputera di sarawak dan di sabah terus diabaikan dari segi kematangan politik, peluang ekonomi dan status sosial. tuhan tidak akan membantu bangsa yang menafikan hak orang lain. ketidakadilan akan membuatkan bangsa tersebut rosak dan lemah. fikir-fikirkanlah.

    ReplyDelete